Teroka Kawasan Barat Sarawak Untuk Rizab Minyak & Gas, Perlukan Teknologi Baharu
KUCHING: Teknologi lebih moden diperlukan bagi memastikan aktiviti eksplorasi dapat dilaksanakan secara berdaya maju dan ekonomik di kawasan Barat Sarawak yang berpotensi besar untuk penerokaan rizab minyak dan gas baharu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha penerokaan ketika ini yang dilaksanakan bersama rakan industri, termasuk projek pembangunan Sirung-Chenda, menunjukkan perkembangan positif malah ada yang berada lebih awal daripada jadual pelaksanaan yang dirancang.
Jelasnya, ini membolehkan penerokaan diperluaskan ke kawasan baharu yang masih belum diterokai secara menyeluruh.
"Saya berpandangan secara peribadi, kalau dikaji geologi, rizab minyak dan gas nampaknya boleh diterokai di kawasan pesisir pantai daripada Kimanis, Sabah, ia turun kepada Brunei Bay.
"Lepas itu ada telaga minyak pula di Baram dan di Mukah termasuk di Balingian. Dari Balingian pula akan turun ke bawah sebab kawasan itu belum diterokai lagi, termasuklah di Barat Sarawak.
"Kalau kita ada teknologi baharu yang dibuat oleh PTTEP, mungkin kita boleh menerokai dan melihat banyak lagi rizab yang ada di Barat Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kontrak antara PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) bagi Projek Platform Pengeluaran Sirung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Premier Sarawak memberitahu, syarikat pengeluar minyak tidak tertarik untuk meneroka kawasan tersebut disebabkan pengendalian kos yang tinggi dan pengeluarannya juga adalah minyak masam.
Namun jelasnya, teknologi terkini mampu memisahkan karbon dan menjadi gas manis manakala karbon akan disimpan selaras dengan pembangunan industri karbon.
"Dengan adanya pembangunan teknologi baharu ini, penerokaan boleh dilaksanakan," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery