LAKHIL Lawas Sumbang 24 Ekor Kerbau Korban Sempena Aidiladha
LAWAS: Lembaga Amanah Khairat Islam Lawas (LAKHIL) menyumbangkan sebanyak 24 ekor kerbau sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini bagi pelaksanaan ibadah korban di beberapa kawasan sekitar daerah Lawas.
Majlis penyerahan simbolik sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Masjid Besar Lawas pada Isnin.
Sebanyak 10 zon di bawah daerah Lawas menerima agihan sumbangan berkenaan antaranya Merapok, Sundar, Kuala Lawas dan Punang bagi tujuan pelaksanaan ibadah korban di kawasan masing-masing.
Program anjuran LAKHIL itu merupakan antara usaha berterusan dalam membantu masyarakat setempat mengimarahkan sambutan Aidiladha selain memastikan agihan daging korban dapat dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan semangat perpaduan, kerjasama dan gotong-royong dalam kalangan masyarakat Islam di daerah ini sempena Hari Raya Korban.
Turut hadir ialah wakil jawatankuasa masjid dan surau dari setiap zon yang terlibat bagi menerima penyerahan sumbangan korban berkenaan.-EDISI UKAS