KUCHING: Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Pameran Pendidikan & Kerjaya Sarawak (SCatFaiR) 2026 yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Jun ini di Hikmah Exchange Kuching.
Program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu menghimpunkan lebih 130 pempamer terdiri daripada institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pemain industri dalam satu platform strategik pembangunan bakat serta kerjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang berkata, SCatFaiR merupakan platform pendidikan, latihan dan kerjaya terbesar di Sarawak yang memberi peluang kepada belia, graduan dan pelajar mendapatkan pendedahan secara langsung berkaitan hala tuju pendidikan serta peluang pekerjaan semasa.
Menurut beliau, tumpuan utama tahun ini melibatkan sektor berpotensi tinggi seperti minyak dan gas, teknikal, digital, perkhidmatan, pembuatan, pembinaan serta bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Objektif utama penganjuran SCatFaiR adalah membantu para belia, graduan dan pelajar mendapatkan pendedahan secara terus mengenai hala tuju pendidikan TVET, STEM dan peluang pekerjaan yang relevan dengan keperluan industri semasa,” katanya semasa program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, Bangunan Baitulmakmur pada Selasa.
Katanya, SCatFaiR turut memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan Sarawak membangunkan modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan menjelang 2030.
“Dunia pekerjaan hari ini sangat dinamik dan memerlukan individu yang fleksibel, berkemahiran dan sentiasa bersedia untuk belajar perkara baharu,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning (TCIL), Fredick Kevin Buseli memaklumkan persiapan penganjuran berjalan lancar meskipun tarikh program berlangsung dalam minggu sambutan Gawai Dayak.
Beliau berkata, pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang dua hari program termasuk pameran pendidikan, pameran kerjaya dan sesi temu duga terbuka.
Antara aktiviti utama yang bakal berlangsung ialah Oil & Gas Zone oleh PETROS, STEM Playground, Sarawak Minecraft Championship, Sarawak Rocketeer Challenge, TVET Masters Challenge dan Planetarium Sultan Iskandar Dome.
Selain itu, katanya, beberapa artis tempatan turut dijangka memeriahkan program berkenaan termasuk Mawat, Alex Wan dan Phoebe Chloe.
“SCatFaiR merupakan sebuah platform lengkap yang menghimpunkan peluang pendidikan, latihan, pembangunan bakat dan pekerjaan dalam satu tempat, kira-kira one stop centre,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, setakat ini kira-kira 50 syarikat industri telah mengesahkan penyertaan dengan menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung.
Antara institusi pendidikan yang terlibat termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Swinburne University, Curtin University dan University of Technology Sarawak (UTS).
Orang ramai yang ingin menghadiri program tersebut digalakkan membuat pra-pendaftaran melalui kod QR yang disediakan di media sosial rasmi TEGAS sebelum 5 Jun ini bagi memudahkan urusan kemasukan dan mengurangkan kesesakan sepanjang program berlangsung.- EDISI UKAS