Kerajaan Sarawak Salur RM12.8 Juta Bantu Golongan Memerlukan di Sibu
KANOWIT: Kerajaan Sarawak membuktikan komitmen berterusan dalam membela nasib golongan memerlukan apabila memperuntukkan sebanyak RM12,870,000 bagi membiayai 5,674 orang penerima bantuan kebajikan di Bahagian Sibu bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata daripada jumlah keseluruhan tersebut, Daerah Kanowit secara khususnya mencatatkan seramai 780 orang penerima bantuan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1,863,350.
“Data bagi Bahagian Sibu setakat lima bulan pertama tahun ini menunjukkan Skim Bantuan Warga Emas (BWE) mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 2,155 kes dengan perbelanjaan mencecah RM6,460,200.
"Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih Sempena Hari Gawai 2026 di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, pada Selasa.
Di samping itu, Anyi menjelaskan bahawa program Sejambak Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini melibatkan pemberian sumbangan sempena sambutan Hari Gawai kepada seramai 3,129 orang penerima bantuan di Bahagian Sibu.
Pada majlis tersebut, seramai 50 orang penerima bantuan bulanan kebajikan dari daerah Kanowit hadir untuk menerima wang tunai bernilai RM100 dan hamper bernilai RM80.
"Bagi penerima bantuan yang tidak berpeluang untuk hadir pada hari ini, sumbangan RM100.00 akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank masing-masing.
"Saya percaya bahawa sumbangan dan perhatian yang diberikan walaupun sederhana, mampu membawa kegembiraan dan semangat kepada mereka yang memerlukan untuk turut bersama meraikan sambutan Hari Gawai tahun ini," tambah beliau.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Kanowit, Casseylia Bennet dan tetamu lain.-EDISI UKAS