ADUN Balingian Sumbang 10 Ekor Lembu Korban Sempena Aidiladha
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menyumbang sebanyak 10 ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan DUN Balingian.
Sumbangan tersebut melibatkan enam kumpulan yang merangkumi 20 kampung di kawasan berkenaan bagi memastikan agihan daging korban dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat setempat.
Menurut Abdul Yakub, pelaksanaan ibadah korban itu bukan sahaja bagi menunaikan tuntutan agama sempena Aidiladha serta menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim A.S., malah turut menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat.
“Selain itu, program ini dapat memupuk semangat kerjasama dan budaya gotong-royong dalam kalangan masyarakat di kawasan DUN Balingian,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Lembu Korban di Pusat Khidmat N58 Balingian, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata semangat gotong-royong menjadi kekuatan utama dalam memastikan sesuatu program kemasyarakatan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Ujarnya, kerjasama erat dalam kalangan penduduk kampung amat penting khususnya dalam menjayakan program melibatkan komuniti setempat.
Pada masa sama, beliau berharap program berkenaan dapat membantu golongan yang memerlukan menerusi agihan daging korban secara tersusun dan menyeluruh di kawasan terbabit.
“Dengan adanya semangat kerjasama dan gotong-royong, urusan pelaksanaan program terutama di kawasan kampung akan menjadi lebih mudah dan teratur.
“Kita mahu semua penerima memperoleh manfaat secara sama rata dan bersama-sama merasai keberkatan Aidiladha,” katanya lagi.-EDISI UKAS