Baucar RM500 Ringankan Beban 20 Keluarga Miskin Tegar Sambut Gawai
PAKAN: Seramai 20 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada golongan miskin tegar di daerah ini menerima bantuan khas berbentuk baucar tunai bernilai RM500 menerusi Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kerajaan MADANI (Sejahtera MADANI) di Pejabat Daerah Pakan, pada Isnin.
Bantuan di bawah Skop Kebajikan Tahun 2026 itu disalurkan bagi membantu penerima membuat persiapan menjelang sambutan Hari Gawai yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan, Nor Izzah Marzuki bagi mewakili Pegawai Pembangunan Zon (Sri Aman), Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Sri Aman).
Menurut Izzah, kesemua penerima yang dipilih merupakan individu berdaftar dalam sistem eKasih dan dikenal pasti berada dalam kategori miskin tegar yang memerlukan perhatian segera.
Katanya, setiap penerima menerima baucar tunai RM500 yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas harian termasuk persiapan perayaan dan keperluan keluarga.
“Bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan penerima, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup dan persediaan menjelang Hari Gawai,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan program tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh agenda kebajikan rakyat di peringkat akar umbi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.-EDISI UKAS