Jalan Rumah Panjang Meragang Bakal Ubah Landskap Mobiliti Penduduk Pedalaman
LAWAS: Projek pembinaan jalan raya yang sekian lama dinantikan penduduk Rumah Panjang Meragang bakal menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan pedalaman.
Dengan kos keseluruhan sebanyak RM50 juta, projek tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan dinikmati secara menyeluruh termasuk oleh komuniti di kawasan terpencil.
Cadangan projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang lebih empat kilometer berserta jalan spur tambahan sepanjang 500 meter yang akan menghubungkan beberapa penempatan dan kampung berhampiran dengan laluan utama.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka meningkatkan tahap aksesibiliti, memudahkan pergerakan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat khususnya dalam sektor pertanian dan perniagaan kecil.
Pada asalnya, projek tersebut berada di bawah pelaksanaan Regional Corridor Development Authority (RECODA). Namun selepas penelitian lanjut serta mengambil kira pandangan pemimpin dan masyarakat setempat, pelaksanaan projek itu dipindahkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan kampung serta rumah panjang yang terlibat mendapat manfaat secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Langkah tersebut memperlihatkan pendekatan kerajaan yang pragmatik dan berorientasikan rakyat dalam memastikan setiap projek infrastruktur luar bandar benar-benar memberi impak kepada komuniti sasaran.
Melalui penyelarasan baharu itu, skop serta jajaran projek dapat dirancang dengan lebih efektif bagi memenuhi keperluan penduduk Rumah Panjang Meragang dan kawasan sekitarnya.
Berdasarkan perancangan semasa, projek tersebut dijangka ditender pada penghujung tahun ini sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan tertakluk kepada kelulusan teknikal serta persiapan berkaitan.
Bagi penduduk setempat, pembinaan jalan baharu itu membawa makna besar kerana selama ini mereka bergantung kepada laluan yang terhad dan sukar dilalui terutama ketika musim hujan serta cuaca buruk.
Kemudahan itu dijangka menyediakan akses yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk termasuk pelajar, petani dan pengguna harian selain memudahkan pengangkutan hasil pertanian serta mengurangkan masa perjalanan.
Dalam masa sama, projek tersebut turut berpotensi membuka peluang kepada pertumbuhan pelancongan luar bandar dan aktiviti ekonomi baharu di kawasan berkenaan.
Pemimpin masyarakat setempat turut menyambut baik pengumuman projek itu dan menyifatkannya sebagai bukti kerajaan terus memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan luar bandar walaupun berdepan cabaran ekonomi global serta peningkatan kos pembangunan.
Projek jalan Rumah Panjang Meragang sekali lagi membuktikan iltizam Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira lokasi.-EDISI UKAS