684 Surat Hak Milik Tanah NCR Diserah Kepada 517 Penerima Di Mambong
PADAWAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen dalam melindungi hak pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi penyerahan sebanyak 684 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada 517 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong pada Selasa.
Penyerahan tersebut melibatkan penerima dari tiga kampung iaitu Kampung Giit, Kampung Nyiru Grait dan Kampung Emperoh Garung yang majoritinya terdiri daripada komuniti Bidayuh.
Majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Barei Persatuan Biperoh, Padawan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan tanah NCR rakyat diiktiraf dan dilindungi melalui pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan sejak tahun 2010.
Katanya, program tersebut dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pengukuran perimeter serta pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan seterusnya pengukuran lot individu serta pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
“Kerajaan akan keluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, yang mana ianya tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium dan tempoh pegangannya kekal.
“Inilah komitmen dan janji kerajaan. Semua ini adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga 30 April 2026, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menyukat perimeter lebih 1.23 juta hektar tanah NCR di seluruh Sarawak, dengan 966,440 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.
Selain itu, sebanyak 110,815 lot individu berjaya diukur melibatkan keluasan 132,414 hektar manakala 37,168 surat hak milik tanah telah dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi memastikan proses pengukuran tanah NCR dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat generasi akan datang. -EDISI UKAS