Program SKS Bintulu Buka Peluang Kerjaya, 616 Calon Ditemuduga
BINTULU: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bintulu terus menjadi platform mendekatkan peluang pekerjaan kepada rakyat apabila seramai 616 pencari kerja telah ditemuduga sepanjang tiga hari penganjurannya dari 22 hingga 24 Mei lalu.
Berdasarkan statistik Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh, Jabatan Premier Sarawak, program itu merekodkan 1,255 pengunjung, dengan 888 pendaftaran JobSarawak sepanjang tempoh berkenaan.
Daripada jumlah calon yang ditemuduga, seramai 386 orang lulus saringan pertama, manakala dua calon telah ditawarkan pekerjaan.
Selain itu, sebanyak 14 resume turut diterima, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima 19 kes sepanjang program berkenaan.
Program itu turut menawarkan 95 kekosongan pekerjaan melibatkan beberapa syarikat termasuk OCI Terassus Sdn Bhd, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, China Energy Engineering Group (CEEC), Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad, TH Plantation Berhad, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RHB Bank Berhad.
Berdasarkan pecahan harian, hari kedua mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi iaitu 821 orang, selain merekodkan 232 calon ditemuduga dan 149 calon lulus saringan pertama.
Penganjuran SKS 2026 Bintulu sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan akses terus kepada peluang pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya serta jaringan antara pencari kerja dan majikan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Hazrin Sunaini