Sarawak Water Pantau Rapi Kemungkinan Kebocoran Paip Air Terawat Di Batu 7
MIRI: Sarawak Water sedang memantau rapi dan menilai kemungkinan berlakunya kebocoran paip air terawat di kawasan Batu 7, Jalan Miri-Bintulu bagi memastikan sistem bekalan air kekal stabil dan terkawal.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, susulan laporan awal diterima, pasukan operasi dan teknikal Sarawak Water telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta terus memantau keadaan semasa bagi mengenal pasti punca, tahap dan potensi kesan terhadap sistem bekalan air sedia ada.
Sarawak Water turut memaklumkan bahawa keadaan ketika ini masih lagi stabil dan terkawal.
Sebagai langkah kesiapsiagaan awal, Sarawak Water telah mengaktifkan pasukan penyelarasan melibatkan pasukan operasi, teknikal serta kontraktor berkaitan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum sekiranya tindakan lanjut diperlukan.
Dalam masa sama, perancangan operasi, kesiapsiagaan logistik, penyelarasan komunikasi serta langkah kontingensi turut dilaksanakan bagi meminimumkan sebarang potensi gangguan kepada pengguna sekiranya kerja-kerja pembaikan perlu dijalankan.
Sarawak Water memberi jaminan bahawa semua langkah sewajarnya sedang diambil bagi memastikan sistem bekalan air terus dibekalkan secara konsisten, di samping kepentingan pengguna kekal menjadi keutamaan utama syarikat itu.
Orang awam turut dinasihatkan supaya merujuk hanya kepada saluran komunikasi rasmi Sarawak Water untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini yang sahih berhubung perkara berkenaan.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Sarawak Water.-EDISI UKAS