480 penerima sumbangan khas Gawai DUN Stakan Bernilai RM48,000
KOTA SAMARAHAN: Seramai 480 penerima daripada beberapa kampung serta kem tentera dalam kawasan DUN Stakan menerima manfaat menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Gawai DUN Stakan yang melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM48,000.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim di Pejabat Pusat Khidmat DUN Stakan, pada Selasa.
Menurut Datuk Hamzah, inisiatif berkenaan diteruskan bagi memastikan masyarakat Dayak yang memerlukan turut menerima bantuan sempena sambutan Hari Gawai.
Beliau berkata, program tersebut kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya selepas diperkenalkan pada tahun lalu dengan hanya melibatkan kira-kira 300 penerima sebelum meningkat kepada 400 penerima dan seterusnya 480 penerima pada tahun ini.
Tambah beliau, bantuan tersebut disalurkan menggunakan sumber luar termasuk sumbangan zakat dan bantuan daripada rakan-rakan yang prihatin bagi memastikan lebih ramai masyarakat dapat dibantu tanpa mengira latar belakang.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa buat julung kalinya anggota tentera dari Kem Tentera 3 Briged dan Kem Tentera 1 Divisyen turut menerima sumbangan memandangkan kedua-dua kem tersebut berada dalam kawasan DUN Stakan.
Datuk Hamzah turut menegaskan bahawa bantuan tersebut bukan bersifat bermusim atau bermotifkan pilihan raya, sebaliknya akan diteruskan setiap tahun selagi berkemampuan demi membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
Beliau turut mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya menilai penerima secara adil dan telus agar bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak termasuk warga emas dan keluarga kurang berkemampuan.
Antara kawasan yang menerima sumbangan khas tersebut ialah Kampung Sidanu, Kampung Merdang Gayam, Taman Samarindah, Kampung Merdang Limau, Kampung Sungai Empit, Kampung Sidarud, Kampung Sijiram, Kampung Merdang Lumut, Kampung Quop, Kem Tentera 3 Briged serta Kem Tentera 1 Divisyen.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Stakan dalam memastikan kebajikan masyarakat pelbagai kaum terus diberi perhatian khususnya menjelang sambutan perayaan utama masyarakat di kawasan tersebut.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Daily Joseph serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum DUN Stakan.-EDISI UKAS