Fenomena ‘Sakura Malaysia’ Ceriakan Kuching, Tarik Pengunjung Bergambar Ala Luar Negara
KUCHING: Fenomena mekarnya Pokok Sakura Malaysia atau Pokok Tekoma di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini bukan sahaja menceriakan landskap bandar, malah turut menjadi tumpuan orang ramai yang mahu merakam kenangan dalam suasana seakan-akan musim bunga di luar negara.
Pokok yang dikenali dengan nama saintifik Tabebuia rosea itu kini sedang berbunga lebat dengan gugusan bunga merah jambu dan putih yang menghiasi kawasan sekitar sekali gus mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan pengunjung terutama golongan muda.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sekitar kawasan bangunan kerajaan berhampiran Baitulmakmur, Bangunan Kastam dan perkarangan Kompleks Kraf Sarawak mendapati orang awam tidak melepaskan peluang bergambar sambil menikmati suasana nyaman di lokasi berkenaan.
Antara yang ditemui ialah dua beradik, Irdiana Batrisyia, 21, dan kakaknya, Qistina Batrisyia, 23, yang hadir selepas mengetahui mengenai fenomena tersebut menerusi media sosial.
Menurut Irdiana, suasana itu memberikan pengalaman baharu kepada masyarakat di Sarawak kerana pemandangan seperti itu lazimnya hanya dapat dilihat di luar negara.
“Saya mula-mula tengok di media sosial yang viral di Miri, kemudian saya tengok dekat Kuching pun ada juga. Jadi sementara saya tengah cuti, saya ajak kakak saya untuk berjalan dan ambil gambar di kawasan pokok bunga sakura ini.
“Saya rasa sangat ‘wow’ sebab ini kali pertama ada di Sarawak. Selalunya saya tengok di negara luar sahaja. Bila bunga dan daun-daunnya gugur, suasananya terasa seperti di luar negara dan nampak sangat estetik,” katanya ketika ditemui UKAS di sini, pada Selasa.
Beliau turut berharap lebih banyak Pokok Sakura Malaysia ditanam di sekitar Kuching bagi memperindah landskap bandar selain menarik lebih ramai pelancong luar ke Sarawak.
Sementara itu, Qistina berkata kewujudan pokok berkenaan memberi peluang kepada masyarakat tempatan menikmati suasana ala Jepun tanpa perlu keluar negara.
Katanya, kombinasi warna bunga putih dan merah jambu menjadikan kawasan tersebut sesuai dijadikan lokasi fotografi serta aktiviti riadah bersama keluarga.
“Saya tahu mengenai tempat ini melalui media sosial dan terus berkongsi video TikTok dengan adik sebelum kami datang untuk mengambil gambar di sini.
“Saya memang suka suasana cantik dan estetik untuk cipta kenangan. Jadi bila ada tempat seperti ini di Kuching, kita tidak perlu pergi jauh untuk merasai suasana seperti musim bunga di Jepun,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan lokasi khas yang strategik untuk penanaman Pokok Sakura Malaysia selain menambah elemen pencahayaan pada waktu malam bagi menjadikan kawasan tersebut lebih menarik kepada pengunjung dan pelancong.
Fenomena bermusim itu dilihat bukan sahaja mampu memperindah landskap bandar, malah berpotensi menjadi produk pelancongan baharu yang dapat memperkukuh imej Kuching sebagai bandar raya hijau dan mesra komuniti. -EDISI UKAS