Penubuhan PPDK Beri Ruang Latihan Kepada Golongan Istimewa
SERIAN: Penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dilihat terus memberi ruang latihan dan bimbingan kepada golongan istimewa dalam usaha membina kemahiran serta meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kewujudan pusat seperti PPDK amat penting dalam menyediakan latihan berstruktur kepada pelatih yang memerlukan perhatian khas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menjelaskan, kewujudan lebih banyak pusat sedemikian merupakan satu kelebihan kepada masyarakat setempat kerana dapat memberi lebih banyak peluang kepada golongan istimewa untuk mendapat latihan dan bimbingan sewajarnya.
“Saya percaya kawasan ini mempunyai kelebihan kerana memang kita memerlukan banyak pusat seperti ini, tetapi ia harus dijaga dan disokong oleh jabatan yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pra Gawai PPDK Hidup Mesra Teng Bukap di Dewan Serbaguna Kampung Peraya pada Selasa.
Justeru, beliau berharap agar pihak pengurusan dan tenaga pengajar PPDK dapat bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga untuk merancang program pembangunan kemahiran yang bersesuaian kepada para pelatih.
Katanya, seramai kira-kira 20 pelatih di pusat tersebut mempunyai potensi tersendiri yang boleh diketengahkan melalui latihan dalam bidang teknikal, ekonomi, kraftangan dan pelbagai kemahiran lain mengikut minat dan kebolehan masing-masing.
"Yang paling penting ialah mereka mempunyai kemahiran untuk masa depan dan mampu berdikari. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa kerana suatu hari nanti mereka perlu menjaga diri sendiri,” ujarnya.
Jelasnya, setiap anak istimewa mempunyai bakat tersendiri yang perlu dicungkil dan diberi peluang untuk berkembang. -EDISI UKAS