Persiapan Program Sarawakku Sayang 2026 Zon Tengah diperkemas
SIBU: Persiapan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah terus diperkukuh menerusi Mesyuarat Penyelarasan yang berlangsung di RH Hotel.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian bagi Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong, Datu Hii Chang Kee berkata, penyelarasan rapi antara semua agensi pelaksana amat penting bagi memastikan kelancaran penganjuran program tersebut.
Menurut beliau, kerjasama erat antara jabatan dan agensi berkaitan akan membantu memastikan setiap pengisian program dapat dilaksanakan dengan teratur dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah pada Isnin yang turut dihadiri Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman bersama ketua dan wakil pelbagai agensi pelaksana.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk penyelarasan gerak kerja antara agensi, perancangan program serta aspek logistik bagi memastikan kelancaran penganjuran acara berkenaan.
Mesyuarat turut diisi dengan pembentangan oleh ahli jawatankuasa bagi mengemaskini status gerak kerja dan tahap kesiapsiagaan penganjuran SKS 2026 Zon Tengah.
Program SKS peringkat Bahagian Sibu dijadual berlangsung di Dataran Bandar Sibu pada 10 hingga 12 Julai 2026 dan akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pelbagai pengisian menarik turut disusun sepanjang program tersebut termasuk pameran, penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan, aktiviti keusahawanan, sukan rakyat dan pentas hiburan rakyat.
Selepas Sibu, program berkenaan akan diteruskan di Kompleks Sukan Sarikei pada 7 hingga 9 Ogos 2026, diikuti Dataran Pehin Sri Raja, Mukah pada 28 hingga 30 Ogos 2026 serta Kompleks Sukan Betong pada 4 hingga 6 September 2026.- EDISI UKAS