12 barangan di bawah SHMMP Gawai Dayak 2026 di Sibu mulai 27 Mei
SIBU: Sebanyak 12 jenis barangan ditetapkan harga maksimum di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Gawai Dayak 2026 bagi Bahagian Sibu yang berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sibu, Roslee Maslie berkata, skim kawalan harga tersebut melibatkan kawasan Sibu, Kanowit dan Selangau.
Menurut beliau, antara barangan yang terlibat ialah ayam tua hidup, kepak ayam, daging kerbau import dari India, khinzir hidup (ladang sahaja), daging khinzir (perut) serta daging khinzir (daging dan lemak).
Katanya, turut disenaraikan ialah bawang putih dari China, kubis bulat import dari Indonesia dan China, cili kering kerinting, kelapa biji (borong sahaja), kelapa parut (runcit sahaja) dan santan kelapa (runcit sahaja).
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media pada Isnin.
Jelasnya, pelaksanaan SHMMP bertujuan membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga tidak bertanggungjawab menjelang sambutan Hari Gawai Dayak.
“Tindakan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara,” tegasnya.
Menurut beliau, individu yang didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
Sementara itu, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM20,000.
Roslee turut mengingatkan peniaga agar mematuhi arahan yang ditetapkan dan mengamalkan etika perniagaan selain menyeru pengeluar, pemborong dan peruncit supaya tidak menaikkan harga secara mendadak selepas tamat tempoh pelaksanaan skim berkenaan.
Pengguna yang mempunyai aduan berkaitan pelanggaran peraturan SHMMP boleh menyalurkannya menerusi aplikasi Ez ADU, portal e-Aduan KPDN, e-mel, hadir ke Pejabat KPDN Cawangan Sibu atau menghubungi talian WhatsApp 019-2794317.- EDISI UKAS