RM120 Juta Perkukuh Pembangunan Infrastruktur di Parit Bugis
SARIKEI: Kerajaan terus komited memperkukuh agenda pembangunan luar bandar menerusi peruntukan sebanyak RM120 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di kawasan Parit Bugis, Seberang Sarikei.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan projek tersebut dijangka membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk setempat selain merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur kekal menjadi antara keutamaan kerajaan bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan dan peluang pembangunan yang seimbang.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat luar bandar agar mereka turut menikmati kemudahan serta peluang pembangunan yang seimbang dengan kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pelaksanaan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC), pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan luar bandar mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sekiranya dilengkapi dengan jaringan jalan raya serta sistem sokongan yang lebih teratur dan efisien.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM45 juta disalurkan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi pembinaan rangkaian jalan raya baharu di kawasan terlibat.
Menurut beliau, pembinaan jalan tersebut bukan sahaja meningkatkan hubungan antara kampung, malah memudahkan pergerakan penduduk serta mempercepat akses ke kawasan pertanian dan pusat aktiviti ekonomi.
Dalam pada itu, sebanyak RM75 juta lagi diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi melaksanakan projek jalan ban yang turut berfungsi memperkukuh sistem saliran dan pengairan di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, projek berkenaan dijangka memberi manfaat jangka panjang termasuk meningkatkan tahap keselamatan, memudahkan urusan harian penduduk serta menggalakkan perkembangan sektor pertanian tempatan.
“Apabila kemudahan asas dipertingkatkan, penduduk akan memperoleh akses yang lebih baik dan keadaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli serta wakil daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sarikei.- EDISI UKAS