KCF 1.0 berjaya tonjol kepelbagaian budaya masyarakat Kanowit
KANOWIT: Festival Kebudayaan Kanowit (KCF) 1.0 2026 berjaya mencapai matlamat penganjurannya dalam mengetengahkan kepelbagaian budaya, persembahan serta permainan tradisional masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kejayaan festival tersebut membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya masyarakat tempatan.
Menurut beliau, pelbagai persembahan kebudayaan dan permainan tradisional yang diketengahkan sepanjang festival berjaya menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
“Saya berharap festival ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar dan lebih meriah,” katanya berucap mewakili Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan KCF 1.0 pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan perancangan rapi bagi memastikan kelancaran penganjuran program pada masa akan datang selain menyatakan sokongan terhadap usaha pembangunan di Kanowit demi manfaat masyarakat setempat.
Katanya, Kanowit mempunyai potensi besar sebagai pusat persinggahan dan kawasan tumpuan yang mampu merancakkan pembangunan ekonomi serta pelancongan tempatan.
Sementara itu, beliau memaklumkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijadual mengadakan lawatan kerja ke Kanowit pada 26 Jun ini.
Menurutnya, lawatan tersebut melibatkan Program Penyerahan Jalan Balak kepada Kerajaan Negeri di Simpang Jalan Jagau selain menghadiri Majlis Ngiling Bidai dan lawatan kerja di Rumah Taboh, Ngungun.
Beliau berkata, pengambilalihan jalan balak oleh kerajaan negeri dijangka dapat memudahkan urusan dan pergerakan penduduk di kawasan terlibat.
Turut hadir Pegawai Daerah Kanowit merangkap Pengerusi Jawatankuasa KCF 1.0, Cerisologo Sabut.- EDISI UKAS