40 Asnaf di Jemoreng terima sumbangan bakul makanan
JEMORENG: Seramai 40 golongan asnaf di kawasan Jemoreng menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Sumbangan Bakul Makanan yang berlangsung di Dataran Kampung Jemoreng, Matu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, program kebajikan tersebut merupakan usaha berterusan dalam membantu golongan memerlukan khususnya mereka yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, bantuan seumpama itu bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, program berbentuk kebajikan juga penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain memupuk semangat saling membantu dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada para penerima pada program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Matu (LAKIM) pada Isnin.
Sementara itu, para penerima melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sumbangan yang diterima serta menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna dalam membantu keperluan harian keluarga mereka.- EDISI UKAS