Premier Sarawak Serikan Majlis Kesyukuran Aidiladha MIS Tahun 1447H/2026M
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir menyerikan Majlis Kesyukuran Aidiladha anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya, pada Rabu.
Majlis dimulakan dengan beliau melafazkan niat ibadah korban sebelum menyaksikan sesi penyembelihan dua ekor haiwan korban.
Pada tahun ini, sebanyak lapan ekor lembu korban disumbangkan, masing-masing tiga ekor oleh MIS dan lima ekor oleh Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK).
Seterusnya, beliau turut menyempurnakan simbolik pelapahan daging korban sebelum menyampaikan sumbangan daging korban kepada 30 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan saudara baharu sekitar Bahagian Kuching.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari bersama dif kenamaan lain menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang dihadiri lebih 3,000 umat Islam sekitar Kuching.
Solat tersebut diimamkan oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Mohammad Ihsan Haidzir, manakala khutbah Aidiladha disampaikan oleh Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim.
Turut hadir, anakanda Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery