KMKK Muara Tuang Terima Sumbangan Khas Sempena Hari Gawai
KOTA SAMARAHAN: Seramai 18 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Daerah Serian dan Daerah Kecil Siburan serta 24 penduduk akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima sumbangan khas berupa wang tunai dan 69 kotak air minuman sempena sambutan Hari Gawai.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, sumbangan ini adalah salah satu bentuk penghargaan kepada semua KMKK yang terus memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan di peringkat akar umbi.
“KMKK merupakan tulang belakang komuniti yang sentiasa dekat dengan rakyat serta memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan dan keharmonian masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Simbolik Sumbangan Khas dan Agihan Air Minuman KMKK DUN Muara Tuang di Pusat Operasi Marqas DUN Muara Tuang, pada Selasa.
Menurut beliau, sumbangan yang disalurkan diharap dapat membantu penerima membuat persiapan menyambut Hari Gawai selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Muara Tuang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan DUN Muara Tuang Seraai Sajil dan Ketua Marqas Operasi ADUN Muara Tuang Aziz Mohamad. -EDISI UKAS