Sekretariat Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak Ditubuhkan, Mulakan Persiapan Penganjuran
KUCHING: Sarawak memulakan persiapan awal untuk menjadi tuan rumah bersama temasya Sukan SEA 2027 dengan menubuhkan Sekretariat Sukan SEA 2027 (Kluster Sarawak).
Perkara tersebut ditetapkan dalam Mesyuarat Sekretariat Sukan SEA 2027 Bil.1/2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee pada Selasa.
Di bawah Struktur Sekretariat Local Organising Committee (LOC) Kluster Sarawak, Datu Hii akan bertindak selaku Pengerusi yang akan dibantu oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dzulkornain Masron sebagai Timbalan Pengerusi.
Naib Pengerusi akan disandang oleh Nancy Jolhi, Mu’azamir Jili dan Seroji Ludin, manakala Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Khairul Nizam Morshidi selaku Setiausaha.
Struktur LOC Kluster Sarawak turut dibahagikan kepada empat bahagian utama yang melaksanakan pelbagai peranan untuk melicinkan perjalanan penganjuran Sukan SEA nanti.
Bahagian Strategic, Governance And Communication diketuai oleh Jenny Lee Siak Ne; Bahagian Corporate Services And Commercial Affairs diketuai Asmawaty @ Siti Asmah Ahmad, Bahagian Venue Preparations, Games Operation And Stakeholders Experience diketuai Abdul Rani Abdullah manakala Puvindra Pubeion Jayakumar mengetuai Bahagian Digital, Technology And Games Systems.
Datu Hii dalam amanatnya semasa mesyuarat menegaskan penubuhan sekretariat itu sangat penting bagi mula menggerakkan tugasan kepada semua jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak berjalan dengan lancar dan mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa jawatankuasa turut membentangkan status terkini persiapan khususnya dari aspek penyiapan venue pertandingan.
Untuk rekod, Sarawak akan menganjurkan 17 daripada 38 jenis sukan pada Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September.
Sukan-sukan tersebut ialah akuatik, angkat berat, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, menembak, muay, petanque, skuasy, taekwondo, tenis, wushu, bola keranjang, tenpin boling, boling padang dan memanah.
Selain itu, Sarawak juga diberi penghormatan sebagai venue bagi acara pembukaan temasya berprestij tersebut. - EDISI UKAS