Projek Naik Taraf Balai Raya Kampung Sungai Alo Siap Lebih Awal
MUKAH: Projek menaik taraf Balai Raya Kampung Sungai Alo, di sini berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kejayaan tersebut mencerminkan kecekapan pelaksanaan serta tanggungjawab semua pihak terlibat dalam memastikan kemudahan rakyat dapat diserahkan lebih cepat untuk kegunaan masyarakat setempat.
"Balai raya Kampung Sungai Alo yang telah dinaik taraf kini dilengkapi dengan ruang serta bilik yang lebih selesa dan kondusif.
"Ini tentunya memberi kemudahan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk melaksanakan pelbagai aktiviti, mesyuarat serta program kemasyarakatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Projek Siap Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi projek berkenaan, pada Selasa.
Sehubungan itu, Abdul Yakub berharap balai raya ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih aktif dan tersusun.
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Mukah Nolin Gendang dan Ketua Kaum Kampung Sungai Alo Ali Hamid. -EDISI UKAS