Sibu Hampir Penuhi Syarat Untuk Mencapai Status Bandar Raya
SIBU: Sibu kini semakin hampir mencapai status bandar raya selepas berjaya meningkatkan simpanan kewangannya kepada RM47 juta, berbanding RM19 juta ketika 2019.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh berkata, antara syarat utama untuk sesebuah pihak berkuasa tempatan dinaik taraf sebagai bandar raya ialah mempunyai sekurang-kurangnya RM50 juta dalam simpanan.
“Apabila saya menjadi pengerusi pada 2019, orang ramai sering bertanya mengapa Miri boleh menjadi bandar raya tetapi Sibu tidak.
“Apabila saya melihat kriteria untuk menjadi bandar raya, kita hanya kurang dua perkara. Pertama, akaun bank kita tidak cukup besar kerana kerajaan menetapkan minimum RM50 juta dalam simpanan.
“Tahun ini kita sudah mencapai RM47 juta di mana ketika saya mula memegang jawatan pada 2019, kita hanya mempunyai RM19 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pendedahan kalendar WAK Sibu Festival 2026 di Ibu Pejabat MPS di Wisma Sanyan, pada Selasa.
Katanya lagi, syarat kedua yang masih perlu dipenuhi ialah jumlah penduduk seramai 300,000 orang di mana penduduk Sibu semakin hampir ke bilangan tersebut.
Namun tegasnya, kekuatan kewangan merupakan elemen penting kerana kerajaan tidak dapat menyokong usaha menaik taraf sesebuah bandar sekiranya pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Dalam pada itu, Clarence Ting berkata Sibu juga sedang melalui perubahan dari segi demografi yang disifatkannya sebagai perkembangan positif.
Beliau berkata bandar itu yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai bandar yang majoritinya masyarakat Cina kini semakin pelbagai dengan pertambahan penduduk daripada pelbagai kaum terutama komuniti Iban. -EDISI UKAS