Program Pra Gawai DUN Meradong Terus Dekati Penduduk Rumah Panjang
MERADONG: Program Pra Gawai Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong diteruskan memasuki hari ke-18 menerusi lawatan ke kawasan rumah panjang di Sungai Meradong dan Skim B Meradong dalam usaha mendekati rakyat serta mendengar sendiri keperluan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program lawatan Pra Gawai akan terus dilaksanakan setiap tahun sebagai platform untuk mendengar sendiri permohonan serta melihat keperluan yang dibangkitkan oleh Tuai Rumah dan penduduk rumah panjang.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk yang hadir memeriahkan sambutan Pra Gawai berkenaan.
Suasana sambutan Hari Gawai juga semakin dirasai apabila ramai anak perantau mula pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan bersama keluarga masing-masing.
Datuk Ding turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat menerusi pelbagai bantuan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
Antara inisiatif yang terus memberi manfaat kepada rakyat termasuk bantuan menerusi SKAS, bantuan perubatan warga emas, bantuan kelahiran bayi, bantuan kepada ibu bersalin serta bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi. -EDISI UKAS