Dato Sri Julaihi Tunai Solat Aidiladha Bersama Penduduk Sebangan
SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi telah meluangkan masa untuk menunaikan Solat Sunat Aidiladha sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, di Masjid Darul Aman Sebangan, pada Rabu.
Solat Sunat Aidiladha telah diimamkan oleh Ismadi Ladi manakala khutbah Aidiladha bertajuk ‘Pengorbanan Memperkukuh Kesatuan Ummah’ disampaikan oleh Yaman Madian.
Dalam khutbah tersebut, para jemaah diseru agar mencontohi keikhlasan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT selain memperkukuhkan semangat perpaduan, pengorbanan dan saling membantu dalam kehidupan bermasyarakat.
Di kesempatan itu juga, Dato Sri Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut beramah mesra bersama penduduk dan menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di kawasan Sebangan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi kunjung hormat serta jamuan ringan bersama para jemaah dan penduduk setempat dalam suasana harmoni dan penuh muhibah. -EDISI UKAS