KMKK Perlu Menjadi Benteng Pemeliharaan Adat & Budaya Dayak
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai benteng utama dalam memastikan adat dan budaya masyarakat Dayak terus dipelihara serta tidak lenyap ditelan arus pemodenan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, tanggungjawab KMKK bukan sekadar menjadi pengantara dalam menyelesaikan isu dan aduan rakyat, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pelindung warisan budaya masyarakat Dayak.
Beliau berkata, generasi muda hari ini perlu terus didedahkan dengan adat tradisional seperti ‘miring’ dan seni ‘bebiau’ yang semakin kurang difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Walaupun masyarakat kini hidup dalam arus moden, adat ‘miring’ tetap perlu dipelihara kerana ia merupakan warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat Dayak sejak turun-temurun,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Tatau 2026 di Restoran Dinnerworld, Tatau, pada Selasa.
Menurut beliau, masih ramai generasi muda yang tidak memahami tatacara pelaksanaan adat miring dengan betul termasuk susunan piring dan aturan upacara yang sepatutnya diamalkan.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengurangan penglibatan dalam seni tradisional seperti bebiau, yang menurutnya merupakan khazanah budaya penting masyarakat Dayak yang perlu dipertahankan secara berterusan.
Dalam majlis berkenaan, Dato Sri John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut menyampaikan insentif pendidikan berjumlah RM18,100 kepada 26 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus yang memperoleh keputusan 6A dan ke atas sebagai galakan kecemerlangan akademik.
Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti serta Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong Bujang @ Endawie. -EDISI UKAS