Pembinaan Jalan Darat Fokus Kerajaan Untuk Tingkatkan Perhubungan Luar Bandar Di Bukit Kota
LIMBANG: Pembinaan akses jalan darat terus menjadi fokus utama kerajaan dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar khususnya bagi penduduk yang masih bergantung kepada laluan sungai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, masih terdapat empat kampung di kawasan tersebut yang belum mempunyai akses jalan darat walaupun kemudahan asas lain seperti bekalan elektrik, air bersih dan telekomunikasi telah lama dinikmati penduduk.
Menurut beliau, kampung yang masih belum mempunyai akses jalan ialah Kampung Marajang, Kampung Merambut, Kampung Bulantak dan Kampung Limpaku Pinang.
“Sebahagian besar kampung lain sudah menikmati kemudahan asas termasuk liputan telekomunikasi 4G, namun pembinaan jalan ke empat kampung ini masih menjadi keutamaan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Program Pra-Gawai di Rumah Sandin, pada Selasa.
Tambahnya lagi, usaha melengkapkan jaringan infrastruktur luar bandar khususnya pembinaan akses jalan darat akan terus diberi perhatian bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik dan menyeluruh.
Beliau memaklumkan bahawa permohonan pembinaan jalan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos sekitar RM38 juta dan telah memperoleh kelulusan awal.
“Sementara menunggu peruntukan penuh, sejumlah RM1 juta telah diluluskan bagi membuka laluan asas terlebih dahulu dan pelaksanaannya dijangka bermula tahun ini,” katanya.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu lagi, pembinaan jalan tersebut amat penting dalam membantu penduduk menjalankan aktiviti harian termasuk memudahkan urusan membawa hasil kampung ke pasar serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan turut mempertimbangkan keperluan tambahan seperti penyediaan bot fiber dan enjin bagi kawasan yang masih bergantung kepada laluan air, tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa. -EDISI UKAS