SEBUYAU: Sebanyak 35 ekor lembu telah disumbangkan bagi tujuan Program Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.
Daripada jumlah tersebut, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi telah menyumbangkan sebanyak 27 ekor lembu, manakala lapan ekor lagi merupakan sumbangan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Program tersebut yang turut disertai oleh masyarakat setempat berlangsung dalam suasana meriah dengan penglibatan penduduk dari beberapa kampung sekitar yang bersama-sama menjayakan aktiviti penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban.
Antara kampung yang terlibat termasuk Kampung Baru, Kampung Hulu, Kampung Masjid, Kampung Giat Mara, Kampung Lot, Kampung Jalan Sawmil, Kampung Sangki, Kampung Lereng Bukit, Kampung Seberang, Kampung Baru Hilir serta Urusetia Saudara Kita.
Kesemua agihan daging korban diselaraskan melalui pengurusan Masjid Sebuyau bagi memastikan ia dapat diagihkan secara tersusun kepada penduduk serta golongan yang memerlukan di kawasan berkenaan.
Program tahunan ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat apabila penduduk turut bergotong-royong sepanjang pelaksanaan ibadah korban. -EDISI UKAS