Agihan Korban Berfokus Zon Perkukuh Manfaat Kepada Masyarakat Luar Bandar Samarahan
ASAJAYA: Pendekatan pengagihan ibadah korban secara berfokus mengikut zon dan kampung dilihat berjaya memastikan manfaatnya dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pendekatan tersebut diperkenalkan bagi memastikan agihan daging korban tidak tertumpu di satu lokasi sahaja, sebaliknya diagihkan mengikut keperluan dan jumlah penduduk di setiap kampung.
Menurut beliau, sebanyak 15 ekor lembu korban telah diagihkan di kawasan Asajaya hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk beliau sendiri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Kalau di seluruh Parlimen Kota Samarahan, jumlah korban tahun ini melebihi 80 ekor lembu melibatkan kawasan Asajaya, Samarahan dan Stakan hasil kerjasama ramai pemimpin, persatuan serta komuniti setempat.
“Apabila semua pihak berganding bahu dan mengumpulkan sumbangan bersama, lebih ramai penduduk dapat merasai manfaat ibadah korban ini,” katanya ketika berucap pada Program Penyerahan Daging Korban Parlimen Kota Samarahan di Dewan Terbuka Kampung Asajaya Lot An Najah, pada Rabu.
Dalam program tersebut, seekor lembu telah dikorbankan sebelum agihan daging korban disempurnakan kepada 33 penerima asnaf melibatkan Kampung Asajaya Lot An Najah, Kampung Asajaya Ulu Lot dan Kampung Serpan Laut.
Datuk Rubiah turut menegaskan bahawa ibadah korban bukan sekadar tuntutan agama sempena Aidiladha, malah membawa nilai pengorbanan, keikhlasan, kerjasama dan perpaduan yang perlu terus diperkukuh dalam kehidupan bermasyarakat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan Jerry Zannuddin Bidin serta Penghulu Kampung Asajaya Ulu Dallah Man. -EDISI UKAS