100 Asnaf Terima Agihan Daging Korban Di Kampung Pangkalan Kuap
KOTA SAMARAHAN: Seramai 100 penerima asnaf dari Kampung Pangkalan Kuap menerima agihan daging korban menerusi Majlis Pengagihan Ibadah Lembu Korban Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan yang berlangsung di Masjid Darul Ibadah Kampung Pangkalan Kuap, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, ibadah korban bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menjadi platform penting dalam memupuk budaya gotong-royong, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam komuniti.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid dan penduduk kampung dalam proses penyembelihan, melapah serta agihan daging korban mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat setempat.
“Semangat kerjasama seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam program tersebut, seekor lembu korban sumbangan beliau telah disembelih sebelum dagingnya diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan di kampung berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Afiq Fikri Brahim, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Sapian serta Ketua Kaum Kampung Pangkalan Kuap Sabawi Bahar. -EDISI UKAS