Program Agihan Daging Korban Aidiladha Manfaatkan Lapan Kampung Di Batu Kitang
KUCHING: Sebanyak lapan kawasan kampung sekitar Batu Kitang menerima manfaat menerusi Program Korban dan Agihan Daging Aidiladha yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, pada Rabu.
Program berkenaan melibatkan agihan daging korban kepada penduduk di Kampung Lidah Tanah, Kampung Bukit Panchor, Kampung Batu Kitang Lama, Kampung Haji Baki (Blok A, B dan C), Kampung Paya Mebi, RPR Landeh, Kampung Bunga Rampai serta Kampung Sandong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, program tersebut bukan sahaja mengisi sambutan Aidiladha dengan semangat pengorbanan dan keikhlasan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat pelbagai kaum.
Menurut beliau, inisiatif turun padang dan penglibatan bersama masyarakat setempat mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
Sehubungan itu, Dato Ir Lo berharap sumbangan yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada penerima serta terus mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat. -EDISI UKAS