101.5 Kilogram Daging Korban Agih kepada 35 Asnaf di Kampung Moyan Laut
ASAJAYA: Sebanyak 101.5 kilogram daging korban berjaya diagihkan kepada komuniti setempat menerusi Program Agihan Daging Korban di Kampung Moyan Laut, pada Rabu, melibatkan penerima dari Kampung Moyan Laut Ulu dan Kampung Moyan Laut Hilir.
Program tersebut menyasarkan 35 penerima asnaf yang masing-masing menerima 1.5 kilogram daging korban, menjadikan jumlah keseluruhan agihan kepada golongan asnaf sebanyak 52.5 kilogram.
Selain itu, agihan turut melibatkan 15 ahli jawatankuasa Kampung Moyan Laut Hilir dan 15 ahli jawatankuasa Kampung Moyan Laut Ulu, dengan masing-masing menerima satu kilogram seorang, bersamaan 30 kilogram keseluruhan.
Baki agihan turut disalurkan kepada seorang penghulu kampung, tujuh peserta korban serta 11 penduduk kampung yang membantu sepanjang proses penyembelihan dan pengagihan dijalankan.
Program berkenaan dilaksanakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha sebagai usaha menyemai semangat kebersamaan, perpaduan dan keprihatinan dalam komuniti setempat.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah korban, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat luar bandar. -EDISI UKAS