36 Asnaf Terima Agihan Daging Korban di Kampung Sebandi Ulu
ASAJAYA: Seramai 36 penerima asnaf menerima agihan daging korban dalam Program Agihan Daging Korban Aidiladha di Kampung Sebandi Ulu pada Rabu.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat terus kepada golongan memerlukan, malah mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pengagihan rezeki dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh di peringkat komuniti setempat.
Lembu korban bagi program berkenaan merupakan sumbangan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Ketua Kaum Kampung Sebandi Ulu, Jama Baylai berkata, program seperti ini bukan sahaja memberi bantuan kepada asnaf, malah menjadi ruang mengeratkan hubungan antara penduduk setempat.
Proses penyembelihan dan pengagihan daging korban dilaksanakan secara bergotong-royong dengan penglibatan penduduk kampung serta jawatankuasa setempat bagi memastikan kelancaran program.
Kerjasama komuniti jelas terserlah sepanjang program berlangsung apabila penduduk saling membantu dalam setiap peringkat pelaksanaan, daripada penyediaan hingga agihan kepada penerima.
Program ibadah korban ini turut dilihat sebagai medium penting dalam memupuk nilai keprihatinan, kerjasama dan semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang, selaras dengan semangat Aidiladha yang menekankan pengorbanan dan kebersamaan.
Penduduk yang hadir menyambut baik pelaksanaan program tersebut yang disifatkan mampu memperkukuh hubungan komuniti serta menghidupkan semangat perpaduan di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS