36 Ekor Lembu Dikorbankan Sempena Majlis Qurban Perdana Bahagian Sarikei
SARIKEI: Sebanyak 36 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026M/1447H yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, pada Khamis.
Program tahunan itu menjadi platform memperkukuh semangat pengorbanan, kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Bahagian Sarikei.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh turut dihadiri Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii dan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab.
Dalam ucapannya, Dato Ir Yusuf merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Tetap Perayaan-Perayaan Islam Bahagian Sarikei, Ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) serta pengerusi masjid yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran majlis tersebut bukan sahaja melambangkan rasa syukur atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan, malah menjadi medium memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan masyarakat.
“Majlis Qurban Perdana ini mencerminkan nilai kebersamaan dan keprihatinan yang terus subur dalam kalangan masyarakat serta mampu mempererat hubungan silaturahim antara komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurut beliau lagi, daripada jumlah keseluruhan 36 ekor lembu korban tersebut, sebanyak 20 ekor disumbangkan oleh ADUN Kuala Rajang manakala 16 ekor lagi disumbangkan oleh Ahli Parlimen Sarikei.
Pelaksanaan ibadah korban tahun ini melibatkan beberapa lokasi utama termasuk Masjid Al-Muttaqin sebagai lokasi induk selain Masjid Ar-Rahmah, Masjid Darul Saadah, Masjid Nur Permai dan Surau Darul Huda serta kawasan Selalang dan Bintangor.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sarikei Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan-Perayaan Islam Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Pegawai Tadbir Khas RADDA Kelana Kipli serta Pemangku Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Sarikei Syed Harold Salleh Wan Mohammad.-EDISI UKAS