Bantuan UNIFOR Bawa Pembangunan Hingga Ke Pedalaman Ba Ajeng, Buktikan Tiada Rakyat Dipinggirkan
MIRI: Komitmen Kerajaan Sarawak memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dinikmati secara inklusif terus terbukti apabila bantuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjaya menembusi kawasan pedalaman Ba Ajeng, Ulu Baram menerusi pembinaan Gereja BEM Ba Ajeng.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, bantuan tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan masyarakat Penan walaupun tinggal di kawasan terpencil yang sukar diakses.
“Gereja ini merupakan antara penerima awal geran UNIFOR sekitar tahun 2018 dan 2019 dengan jumlah peruntukan RM85,000 bagi tujuan pembinaan rumah ibadah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Gereja BEM Ba Ajeng di Long Ajeng, Hulu Baram pada Khamis.
Untuk tiba ke kawasan berkenaan, perjalanan mengambil masa kira-kira tujuh jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) dari Miri ke Segah Selaan sebelum diteruskan dengan perjalanan bot selama satu jam setengah.
Menurut Datuk Gerawat, selain pembinaan gereja, penduduk turut menerima bantuan daripada Jabatan Hutan berupa 1,580 keping atap spandek bagi kegunaan komuniti setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, sejak tahun 2017, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM650 juta kepada UNIFOR bagi membantu rumah ibadah agama selain Islam di seluruh negeri.
“Bagi tahun 2026 sahaja, sebanyak RM120 juta diperuntukkan melibatkan RM90 juta untuk rumah ibadah dan RM30 juta bagi sekolah-sekolah mubaligh.
“Masyarakat Penan dan penduduk kawasan pedalaman turut menerima bantuan antaranya ialah RM1,000 untuk setiap bayi yang lahir, bantuan ibu bersalin serta Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS),” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) Long Ajeng dan RM2,000 bagi pembelian kerusi Gereja BEM Long Ajeng.
Selain itu, peruntukan berjumlah RM8,000 masing-masing turut diumumkan kepada JKK Long Murung dan JKK Long Lamam.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang, Pengerusi BEM Daerah Hulu Baram Pastor Christopher Ega, Ketua Kampung Ba Ajeng Rolend Luhat, Ketua Kampung Long Murung Nelson Simun, Pastor Paul Dison serta Ketua Sidang Damus Avun.-EDISI UKAS