TEBEDU: Penganjuran Desa Fair di Tebedu akan diteruskan pada tahun hadapan susulan sambutan positif yang diterima daripada masyarakat serta penyertaan pelbagai agensi dan usahawan tempatan dalam program berkenaan.
Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar berkata, Desa Fair telah berkembang menjadi platform penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi komuniti luar bandar selain mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Menurut beliau, Desa Fair Edisi V Tahun 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Jun dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung dari sekitar Tebedu dan kawasan berhampiran.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada pada Sabtu, manakala majlis penangguhan dijadual berlangsung pada Ahad.
Gerard berkata, penganjuran tahun ini turut menampilkan pelbagai aktiviti jualan dan pameran melibatkan agensi kerajaan, jabatan serta usahawan tempatan bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan serta pelbagai agensi lain yang memberikan kerjasama dan sokongan.
Beliau berharap penganjuran Desa Fair Tahun 2026 akan terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat dan menjadi asas kepada pelaksanaan program yang lebih besar serta meriah pada masa akan datang, termasuk meneruskan penganjurannya pada tahun 2027.-EDISI UKAS