Karya Pelajar FSGK UNIMAS Berpotensi Dipamer Di Konvensyen UNESCO
KOTA SAMARAHAN: Beberapa projek dan hasil karya pelajar Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang dipamerkan sempena Minggu Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA) 2026 berpotensi diketengahkan pada Konvensyen UNESCO di bawah International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Oktober depan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman berkata, potensi tersebut membuktikan kemampuan pelajar UNIMAS menghasilkan karya kreatif yang bukan sahaja berkualiti, malah mempunyai nilai dan relevan untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, tema CIPTA 2026 iaitu “Roots to Routes” menggambarkan perjalanan pelajar daripada akar pendidikan, budaya dan pengalaman hidup yang membentuk identiti mereka kepada pelbagai laluan kerjaya yang bakal diterokai selepas tamat pengajian.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan CIPTA 2026 yang berlangsung di Panggung Eksperimen Teater FSGK, baru-baru ini.
Beliau menambah, sepanjang tempoh pengajian di UNIMAS, para pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu dan kemahiran teknikal, malah dibentuk menjadi graduan yang mempunyai daya tahan, jati diri, nilai profesionalisme dan keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan industri kreatif pada masa hadapan.
Sementara itu, Dekan FSGK UNIMAS, Dr. Louis Ringah Kayan berkata, CIPTA merupakan kemuncak perjalanan akademik pelajar tahun akhir yang menghimpunkan hasil pembelajaran, penyelidikan, eksperimen kreatif dan pembangunan identiti profesional sepanjang tempoh pengajian mereka.
Menurutnya, tema “Roots to Routes” membawa mesej bahawa kreativiti lahir daripada pengalaman hidup, warisan budaya dan nilai komuniti yang kemudiannya membuka pelbagai peluang serta laluan baharu kepada graduan dalam industri kreatif.
Sepanjang penganjuran CIPTA 2026, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai hasil karya yang menggabungkan elemen seni, teknologi, budaya dan inovasi, sekali gus mencerminkan keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian kreatif yang memberi impak kepada masyarakat.
Penganjuran program itu selari dengan komitmen berterusan UNIMAS dalam memperkasakan pendidikan kreatif serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing bagi menyokong pembangunan industri kreatif, ekonomi serta kemajuan negeri dan negara.-EDISI UKAS