Sarawak Perkukuh Ekosistem Digital Selepas Capai Kemajuan Liputan Internet
KUALA LUMPUR: Sarawak kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem digital selepas mencatat kemajuan ketara dalam liputan internet di seluruh negeri bagi memastikan pembangunan teknologi terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi SACOFA, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, fokus pembangunan digital negeri kini tidak lagi tertumpu kepada peluasan liputan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek kualiti perkhidmatan, daya tahan rangkaian dan keupayaan digital yang lebih menyeluruh.
“Selain pembangunan infrastruktur fizikal, Sarawak turut memberi penekanan yang besar terhadap pengukuhan ekosistem digital yang disokong oleh rangkaian keterhubungan sedia ada. Ini termasuk meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur data, menggalakkan penggunaan teknologi awan (cloud), serta membolehkan hubungan dan integrasi yang lebih cekap antara kerajaan, perusahaan dan penyedia perkhidmatan.
“Fasa pembangunan seterusnya bukan lagi hanya tertumpu kepada peluasan liputan, tetapi juga kepada usaha memastikan kualiti perkhidmatan, daya tahan rangkaian dan keupayaan digital diperkukuh merentasi keseluruhan ekosistem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis SACOFA Networking Hi-Tea 2026 di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi berkata, SACOFA terus memainkan peranan penting sebagai tulang belakang infrastruktur telekomunikasi Sarawak dengan menguruskan kira-kira 12,000 kilometer rangkaian gentian optik dan 1,680 menara telekomunikasi di seluruh negeri.
Menurut beliau, peranan SACOFA kini turut berkembang daripada sekadar penyedia infrastruktur kepada pemudah cara strategik yang menyokong integrasi rangkaian, mengoptimumkan kecekapan sistem serta mempercepat pelaksanaan penyelesaian keterhubungan di kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, perkembangan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan infrastruktur digital negeri kekal berdaya tahan, selamat dan bersedia memenuhi keperluan ekonomi digital pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan pembangunan digital yang inklusif terus menjadi keutamaan kerajaan negeri supaya manfaat teknologi dapat dinikmati secara menyeluruh, termasuk komuniti luar bandar, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan perusahaan kecil.
Tambah beliau, kemajuan yang dicapai setakat ini membuktikan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan rakan strategik dalam memperkukuh agenda keterhubungan Sarawak.-EDISI UKAS