Pembangunan & Pemeliharaan Budaya Perlu Bergerak Seiring
GEDONG: Kemajuan yang dinikmati Sarawak hari ini perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara budaya, adat resam dan perpaduan masyarakat yang menjadi tunjang keharmonian negeri ini.
Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, tradisi seperti Ngiling Bidai bukan sekadar menandakan berakhirnya sambutan Gawai Dayak, malah menjadi simbol perpaduan, semangat kebersamaan dan kekuatan komuniti yang perlu terus dipelihara.
Menurut beliau, kestabilan dan keamanan yang dinikmati Sarawak ketika ini membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, meningkatkan hasil negeri serta memperjuangkan hak-hak Sarawak berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ngiling Bidai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Munggu Sabun di sini pada Jumaat.
Pada masa sama, katanya, Sarawak kini melangkah ke arah ekonomi baharu menerusi pendekatan ekonomi hijau dengan memberi fokus kepada penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro dan hidrogen bagi memastikan pembangunan yang mampan untuk generasi akan datang.
Beliau turut menyentuh mengenai pelbagai peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, termasuk inisiatif tajaan pengajian bagi membantu anak-anak Sarawak memperoleh pendidikan berkualiti sebagai pelaburan penting dalam pembangunan modal insan negeri.-EDISI UKAS