Program Pemimpin Bersama Komuniti Perkukuh Peranan KMKK, Dekatkan Pemimpin Dengan Rakyat
PUSA: Program Pemimpin Bersama Komuniti N29 Beting Maro menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, selain membolehkan pelbagai isu serta keperluan rakyat disampaikan secara langsung kepada pihak berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, program seumpama itu turut membantu memperkasakan peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung utama antara kerajaan dan penduduk kampung.
Beliau berkata, KMKK memainkan tanggungjawab penting dalam memastikan urusan pembangunan dan penyelesaian isu masyarakat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“KMKK perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi dalam kampung supaya pengurusan kampung lebih sistematik dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Program Majlis Pemimpin Bersama Komuniti N29 Beting Maro Zon Pusa yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Pusa, pada Jumaat.
Menyentuh aspek pembangunan, beliau berkata usaha menaik taraf dan menyelenggara kemudahan asas seperti jalan raya serta sistem perparitan akan terus diberi perhatian bagi memastikan keselesaan penduduk.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak terus komited membangunkan kawasan luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik yang memberi manfaat kepada rakyat.-EDISI UKAS