Lawatan Pra Gawai Hari Ke-20 Santuni Penduduk Sungai Petai & Skim B Meradong
MERADONG: Program Lawatan Pra Gawai Hari ke 20 diteruskan dengan kunjungan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Petai Dan Skim B Meradong pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyatakan rasa gembira kerana dapat meneruskan tradisi Lawatan Pra Gawai setiap tahun tanpa mengira saiz atau lokasi rumah panjang yang dikunjungi.
Menurut beliau, lawatan tersebut menjadi platform terbaik untuk bertemu secara langsung dengan penduduk, mendengar permasalahan yang disuarakan oleh Tuai Rumah serta meninjau sendiri keperluan dan permohonan komuniti setempat.
“Ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu pendekatan mesra rakyat bagi memastikan suara penduduk di kawasan DUN Meradong terus diberi perhatian pada setiap lawatan Pra Gawai di rumah panjang,” katanya semasa berucap.
Dalam pada itu, Datuk Ding berkata pembangunan di kawasan luar bandar seperti Meradong akan terus diperkasa selagi Sarawak dipimpin oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai insentif telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak kepada rakyat yang memiliki status ‘K’ dalam kad pengenalan, termasuk bantuan kepada ibu yang melahirkan anak, warga emas, golongan bujang dan berkeluarga, serta pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk rumah panjang agar terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat serta pembangunan negeri.-EDISI UKAS