RTP RM200,000 Diluluskan Untuk Naik Taraf Rumah Panjang Changkol
LUBOK ANTU: Rumah Panjang Changkol bakal menerima projek naik taraf menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 yang diluluskan bagi tahun 2027 sekali gus memberi manfaat kepada penduduk dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan kediaman mereka.
Kelulusan tersebut diumumkan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Anak Gingkoi ketika menghadiri Majlis Ngiling Bidai di Rumah Jarop Anak Kalang, Changkol, pada Khamis.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf siling rumah panjang yang kini memerlukan perhatian bagi memastikan kemudahan kediaman penduduk sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Changkol bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Dalam usaha memperkasa peranan wanita di peringkat akar umbi, sebanyak RM8,000 lagi diperuntukkan kepada Biro Wanita Changkol bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan tersebut.
Terdahulu, Pengerusi JKKK Changkol, TR Jarop Kalang dalam ucapannya memohon bantuan bagi menaik taraf siling rumah panjang yang semakin uzur demi keselesaan dan keselamatan penghuni.
Beliau turut memohon peruntukan tambahan untuk memperkukuh pelaksanaan program serta aktiviti komuniti di bawah JKKK Changkol.
Sementara itu, Ketua Biro Wanita Changkol turut mengemukakan permohonan dana khas bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan wanita dilaksanakan di peringkat rumah panjang.
Dalam ucapannya, Roy Angau turut menyentuh isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Daerah Lubok Antu sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, gangguan tersebut berlaku susulan kerja-kerja penukaran sistem paip yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkaitan sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf sistem bekalan air di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun pelaksanaan projek tersebut menyebabkan gangguan bekalan air secara sementara, ia dijangka dapat meningkatkan kecekapan sistem bekalan air dan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Peringkat Daerah Lubok Antu akan diadakan pada 19 Jun ini di Nanga San Panjai.
Majlis Ngiling Bidai tersebut bukan sahaja menjadi simbol penutupan tirai sambutan Gawai Dayak, malah turut menjadi platform penting untuk mendengar suara rakyat serta menyampaikan keperluan pembangunan komuniti setempat secara terus kepada pemimpin.-EDISI UKAS