BCCB Kini Di Peringkat Akhir Persiapan Menjelang Perasmian 22 Jun Ini
BAU: Persiapan akhir Bidayuh Cultural Centre Bau (BCCB) kini giat dilaksanakan bagi memastikan pusat kebudayaan yang bakal menjadi mercu tanda baharu masyarakat Bidayuh itu berada dalam keadaan terbaik menjelang majlis perasmiannya oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 22 Jun ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep mengadakan lawatan tapak ke bangunan berkenaan pada Jumaat bagi meninjau perkembangan terkini kerja-kerja persiapan yang sedang dilaksanakan.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan setiap aspek persediaan berjalan lancar dan menepati jadual, sekali gus membolehkan majlis perasmian berlangsung dalam suasana yang teratur dan sempurna.
Antara kerja-kerja yang sedang dilaksanakan melibatkan penambahbaikan serta kemasan di beberapa ruang utama bangunan termasuk ruang VIP Baruk, foyer, pintu masuk dewan utama dan kawasan pentas.
Di ruang VIP Baruk, pemasangan lantai bertekstur kayu sedang dilaksanakan melibatkan dua tingkat bangunan bagi meningkatkan keselesaan serta menyerlahkan suasana yang lebih eksklusif.
Selain itu, semua tingkap di ruang tersebut turut dilengkapi sistem privasi dua lapisan yang terdiri daripada langsir dan kain sheer menggunakan rel lengkung khas bagi memberikan keselesaan kepada tetamu serta memperkukuh nilai estetik ruang berkenaan.
Bagi ruang foyer pula, pemasangan tirai jenis roller blind sunscreen telah dilaksanakan bagi membantu mengurangkan silau cahaya matahari pada waktu pagi, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pengunjung.
Sementara itu, kerja-kerja kemasan di dewan utama turut merangkumi pemasangan langsir di pintu masuk serta latar belakang pentas menggunakan sistem rel tugas berat yang direka khas bagi menampilkan suasana lebih elegan dan berprestij.
Pemilihan warna merah mewah sebagai tema utama langsir pentas pula dilihat bersesuaian dengan konsep majlis perasmian yang mengetengahkan elemen eksklusif dan berkelas tinggi.
Pelaksanaan kerja-kerja persiapan tersebut dijangka dapat mempertingkatkan lagi kemudahan serta penampilan keseluruhan BCCB, sekali gus memastikan pusat kebudayaan itu bersedia menerima kehadiran tetamu kehormat dan pengunjung sempena majlis perasmian rasmi nanti.
BCCB dijangka menjadi antara pusat kebudayaan penting di Sarawak yang berperanan memelihara, mempromosi dan memperkasakan warisan serta identiti masyarakat Bidayuh untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.-EDISI UKAS