Projek Saliran Dan Pengairan Di Spaoh Perlu Dipercepatkan
SPAOH: Kerajaan Sarawak mahu manfaat projek-projek saliran dan pengairan yang sedang dilaksanakan di Spaoh dapat dinikmati rakyat secepat mungkin bagi menyokong pembangunan sektor pertanian serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut perlu dipercepatkan memandangkan ia mempunyai impak besar terhadap kesejahteraan masyarakat luar bandar, khususnya golongan pekebun kecil di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perbincangan mengenai pelaksanaan dan perancangan projek pembangunan infrastruktur saliran dan pengairan di Rest House Spaoh pada Jumaat.
Dalam sesi itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong yang diketuai Jurutera Bahagian, Mazolizam Mohamad bersama Penolong Jurutera Bahagian, Nash Hafizi Awg Sarbini telah membentangkan status pelaksanaan beberapa projek utama di kawasan Spaoh dan Betong.
Antara projek yang dibincangkan ialah Projek Infrastruktur Saliran dan Pengairan (D&I) Baharu Skim Saliran Tanjung Tisak berserta kerja perlindungan tebing sungai di Pamutang, Spaoh yang diluluskan pada 5 Januari 2026 dengan kos kontrak RM8.8 juta dan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
Projek yang kini berada dalam fasa pembinaan itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan sistem saliran serta menyokong aktiviti pertanian penduduk setempat.
Turut dibentangkan ialah Projek Infrastruktur Saliran dan Pengairan (D&I) Baharu Skim Saliran Batang Layar Blok D di Bahagian Betong yang diluluskan pada 10 Mac 2025 dengan kos kontrak RM29 juta dan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
Berhubung projek tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mencadangkan agar pihak JPS mempertimbangkan pelaksanaan penyerahan kompartmen projek secara berfasa tanpa perlu menunggu keseluruhan projek siap sepenuhnya.
Menurut beliau, pendekatan itu akan membolehkan manfaat projek disalurkan lebih awal kepada pengguna sekali gus membantu merangsang aktiviti ekonomi setempat.
Pada masa sama, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim dan Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Clement berhubung beberapa cadangan projek pembangunan yang dirancang untuk kawasan Spaoh pada masa hadapan.- EDISI UKAS