Program Qurban Perdana Meriahkan Aidiladha, Satukan Komuniti Di Beting Maro
PUSA: Program Qurban Perdana Aidiladha 2026 terus menjadi medan memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan masyarakat apabila mendapat sambutan meriah penduduk setempat di Dataran Tandang Sari, di sini, pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata program tersebut bukan sahaja menghidupkan syiar Aidiladha, malah menjadi platform menyatukan masyarakat melalui aktiviti gotong-royong dan penglibatan komuniti.
Menurut beliau, program anjuran Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan serta kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam mendekati rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Melalui program seperti ini, masyarakat dapat bersama-sama melaksanakan ibadah korban sambil mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan di Pusa kini semakin rancak termasuk pelaksanaan projek infrastruktur yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Katanya, pembinaan Jambatan Batang Lupar serta pelaksanaan beberapa projek jambatan lain di seluruh Sarawak membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan jaringan perhubungan dan kemudahan rakyat.
Sementara itu, Ketua Pemuda Beting Maro merangkap Exco Pergerakan Pemuda PBB Negeri, Awang Nashfarini Awang Sarbini berkata program tersebut turut membuka ruang kepada golongan belia untuk lebih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Razaili Gapor atas sumbangan seekor lembu bagi menjayakan program korban berkenaan.
Program Qurban Perdana itu merupakan siri keempat dianjurkan di Sarawak dan terus menerima sambutan positif daripada masyarakat setempat. -EDISI UKAS