Perpaduan Tunjang Kekuatan Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Semangat perpaduan, keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan penjawat awam pelbagai kaum dan latar belakang terus menjadi tunjang kepada kekuatan Perkhidmatan Awam Sarawak dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sambutan Hari Gawai Dayak merupakan wadah penting untuk menghayati nilai kesatuan yang menjadi asas kepada kejayaan Perkhidmatan Awam Sarawak.
“Kita di Perkhidmatan Awam Sarawak juga terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Justeru, sambutan Hari Gawai Dayak ini menjadi wadah penting untuk kita menghayati bahawa tunjang kepada kekuatan perkhidmatan awam terletak pada semangat kesatuan, keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, perpaduan yang wujud dalam Perkhidmatan Awam Sarawak telah membentuk sebuah institusi yang kukuh dan mampu bergerak sebagai satu pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan
Kerajaan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata tema sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini, ‘Segulai Sejalai Nuju Pemansang’, amat relevan dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks, khususnya dalam era teknologi digital yang berkembang pesat.
Menurutnya, keharmonian dan perpaduan yang dinikmati rakyat Sarawak perlu terus dipelihara bagi memastikan negeri ini kekal aman, stabil dan makmur.-EDISI UKAS