Tilawah Al-Quran Asajaya Perkukuh Syiar Islam & Ukhuwah Komuniti
ASAJAYA: Pertandingan Tilawah Al-Quran yang berlangsung di Masjid An Najah berjaya menarik penyertaan seramai 29 peserta melibatkan kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa, sekali gus menjadi platform memperkukuh syiar Islam serta memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Mewakili Pegawai Daerah Asajaya, Penghulu Kampung Asajaya, Dallan Man berkata pertandingan tersebut bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan membudayakan amalan membaca serta menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Program seperti ini mampu mengeratkan hubungan antara komuniti di samping menyemarakkan penghayatan terhadap ajaran Islam dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa berucap pada pertandingan tersebut pada Sabtu.
Dalam pertandingan itu, Nazhan Adhwa Arif Ataullah dari Surau Al Muhtadeen, Kampung Serpan Ulu muncul johan kategori kanak-kanak lelaki, manakala Norhayati Umanina Kamarulzaman dari Masjid Darul Naim, Kampung Moyan Laut menjuarai kategori kanak-kanak perempuan.
Bagi kategori remaja, Miekail Zanuddin dari Masjid As Solihin, Kampung Sambir dinobatkan sebagai johan remaja lelaki, sementara Nur Ainni Amzari dari Masjid Darul Naim, Kampung Moyan Laut muncul johan kategori remaja perempuan.
Kategori dewasa pula dimenangi oleh Dely Ali Narawi dari Masjid Darul Huda, manakala Misi Suut dari Masjid As Solihin, Kampung Sambir menjuarai kategori wanita.
Semua pemenang menerima sijil penghargaan, hadiah iringan dan ganjaran tunai.
Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah serta alunan takbir raya oleh Kumpulan Riyadus Solihin yang menambahkan kemeriahan program. -EDISI UKAS