Pesta Sungai & Rami Gawai Simpok Perkasa Warisan Bidayuh
SIBURAN: Pesta Sungai dan Rami Gawai Kampung Simpok kali ke-8 terus menjadi platform penting dalam memelihara dan menghidupkan semula warisan budaya masyarakat Bidayuh.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran pesta tersebut mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai acara kebudayaan yang mampu menarik penyertaan lebih ramai komuniti Bidayuh dari kawasan lain pada masa akan datang.
“Bagaimanapun perancangan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan kapasiti sungai dan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian dalam usaha memperluaskan penganjurannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian pesta berkenaan yang berlangsung di Tebingan Sungai Mini Kampung Simpok, pada Sabtu.
Acara kemuncak pesta menyaksikan perarakan rakit berhias melibatkan enam zon Kampung Simpok iaitu Kandis, Serui, Pedat, Regu, Tengah dan Tedon Tiang yang masing-masing menampilkan kreativiti serta identiti tersendiri.
Pesta Sungai dan Rami Gawai Kampung Simpok akan diteruskan dengan pelbagai acara kebudayaan pada sebelah malam sebelum melabuhkan tirai pada 3 Jun depan menerusi aktiviti memancing, sukaneka dan pertandingan kesenian tradisional.
Hadir sama semasa majlis itu ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin. -EDISI UKAS