Kestabilan Politik Sarawak Pemangkin Pembangunan Berterusan
TEBEDU: Kestabilan politik yang dinikmati Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan program kebajikan untuk rakyat di seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, kestabilan politik yang kukuh membolehkan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan pembangunan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, antara kejayaan terbesar Kerajaan Sarawak ialah pembinaan Jambatan Batang Lupar bernilai RM900 juta yang kini merupakan jambatan terpanjang di Malaysia.
“Walaupun projek-projek jambatan pernah dibatalkan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan, Kerajaan Sarawak berjaya meneruskan pembinaannya menggunakan sumber sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan Kerajaan Persekutuan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Bung Kandis di Kampung Darul Huda, di sini pada Sabtu.
Tambahnya lagi, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak telah menarik perhatian negeri-negeri lain yang melihat kejayaan model pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan di negeri ini.
Menyentuh mengenai pembangunan setempat, Dr. Simon memaklumkan bahawa antara projek yang dirancang termasuk pembinaan Lebuhraya Serian–Tebedu bernilai RM1.3 bilion dan pembangunan Hab serta Dataran Tebedu dengan peruntukan RM51 juta.
Selain itu, beliau turut menyuarakan cadangan pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan Mongkos, Daha, Gahat Mawang hingga ke Pasar Tebedu bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Dalam kesempatan itu juga, beliau turut meluluskan peruntukan berjumlah RM150,000 untuk kerja penurapan jalan dalam Kampung Darul Huda dan RM5,000 kepada Biro Wanita kampung berkenaan. -EDISI UKAS