MASOC Perkukuh Koordinasi, Komunikasi Menjelang Sukan SEA 2027
PULAU PINANG: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 mempergiat penyelarasan antara semua jawatankuasa dan kluster penganjur bagi memastikan persiapan Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 pada tahun hadapan dilaksanakan secara lancar dan menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, dengan kira detik setahun menjelang Sukan SEA 2027 pada September tahun hadapan, semua pihak perlu memperkemas persiapan serta memastikan perkara yang masih tertangguh diselesaikan mengikut jadual.
Menurutnya, pelbagai persiapan di peringkat MASOC telah dilaksanakan, namun beberapa perkara masih perlu dikemas kini dan diselaraskan, khususnya urusan pelantikan vendor serta pembekal yang perlu dimuktamadkan tahun ini.
“Banyak persediaan di peringkat MASOC telah dibuat, namun ia perlu dikemas kini. Urusan pelantikan vendor dan pembekal perlu diselesaikan tahun ini supaya pelaksanaan dapat dimulakan segera pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Bengkel Penyelarasan Bersama Jawatankuasa Pengelola dan Kerajaan Negeri Penganjur Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 di Pulau Pinang pada Isnin.
Datuk Abdul Rashid menambah, kejayaan penganjuran kedua-dua temasya itu merupakan sebahagian daripada misi negara yang memerlukan komitmen dan kerjasama erat semua pihak.
Katanya, meskipun setiap jawatankuasa mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap kebergantungan antara jawatankuasa dapat dikenal pasti dan diselaraskan dengan berkesan.
“Saya berharap semua pihak dapat membantu dan bergabung tenaga dalam menjayakan misi negara ini. Kita semua adalah sebahagian daripada misi ini dan masing-masing mempunyai peranan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komunikasi yang jelas dan berterusan antara jawatankuasa serta kluster amat penting bagi mengelakkan kekeliruan ketika pelaksanaan temasya kelak.
“Teruskan gerak kerja dan yang paling penting ialah komunikasi antara jawatankuasa mahupun antara kluster bagi mengelakkan kelam-kabut.
“Kita perlu saling membantu antara satu sama lain. Komunikasi mesti jelas dan hubungan kerja perlu sentiasa diperkukuh dengan memahami keperluan masing-masing demi menjayakan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN tahun hadapan,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya isu yang berpotensi menjejaskan kelancaran penganjuran, termasuk faktor cuaca dan jerebu, diberi perhatian lebih awal.
Menurutnya, rundingan bersama negara jiran berkaitan isu jerebu wajar dipertimbangkan bagi mengurangkan risiko keadaan sama berulang ketika temasya berlangsung, termasuk melalui keterlibatan kepimpinan tertinggi sekiranya keadaan berkenaan berpotensi memberi kesan kepada penganjuran.
Pada hari kedua bengkel, kesemua 18 jawatankuasa daripada semua kluster terlibat dalam proses mengenal pasti dan memperhalusi kebergantungan antara jawatankuasa bagi memastikan setiap perkara dapat diselaraskan secara menyeluruh.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, melibatkan empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Sukan SEA 2027 merupakan kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara itu, dengan Sarawak menjadi salah satu kluster tuan rumah buat pertama kali.
Sarawak turut diberi penghormatan menjadi lokasi upacara pembukaan Sukan SEA 2027 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, selain menjadi antara kluster utama yang menganjurkan acara pertandingan.
Sementara itu, Sukan Para ASEAN Ke-14 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027 melengkapkan penganjuran dua temasya sukan serantau utama di Malaysia pada tahun berkenaan.-EDISI UKAS